IPOH: Kinta Riverfront Hotels & Suites telah mengeluarkan memo kepade para pekerja-pekerjanya bahawa operasinya akan dihentikan pada 30 April 2020.
Ini adalah berikutan penurunan kadar penghuni hotel disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Menurut keratan memo yang ditandatangani oleh wakil dari Lembage Pengarah hotel, pihak hotel telah mengalami kerugian bukan sahaja pada masa pandemik malah sejak berbulan kebelakangan ini.
Keadaan mereka telah bertambah buruk selepas pandemik Covid-19 mula berleluasa sejak Mac lalu.
Ini merupakan hotel yang kedua di Ipoh (selepas Hotel Tower Regency) untuk menghentikan operasinya disebabkan pandemik Covid-19.
Kinta Riverfront Hotel Ipoh merupakan hotel 4-bintang yang mula beroperasi pada 12 Disember 2012 dengan 410 bilik dan juga terkenal untuk bilik tariannya (ballroom).
Menurut The Star Online , salah seorang pekerja Kinta Riverfront Hotel telah menyatakan bahawa penghentian operasi ini mungkin sementara dan pihak hotel akan mengkaji semula situasi pada bulan Jun nanti.
Sementara itu, banyak lagi hotel-hotel di Ipoh, mahupun di seluruh dunia dijangka bergulung tikar akibat pandemik Covid-19 ini yang telah menjejaskan sektor pelancongan.